May
5
Pendakian Santai Ke Bukit Kutu
Hujung minggu baru-baru ini pergi layan mendaki Bukit Kutu terletak di Kampung Pertak dekat-dekat Kuala Kubu Bharu, Selangor bersama group Lafuma Malaysia. Bukit setinggi 1050 meter masih dikenali sebagai sebuah bukit walaupun ketinggiannya melebihi ketinggian Gunung Angsi boleh dikatakan sebuah bukit yang agak santai namun mempunyai trek-trek yang mencabar seperti jatuhan buluh-buluh dan kawasan kebun yang agak mengelirukan. Walaupun sudah dua kali ke sana namun simpang-simpang trek di sana agak sukar dikenalpasti.
Trip satu hari boleh dibuat dengan memulakan perjalanan pada jam selewat-lewatnya 10a.m. kerana masa yang perlu diambil untuk mendaki sekitar 4-5 jam untuk sampai ke puncak dan 2-3 jam untuk turun dari puncak. Namun, saya cadangkan trip 2 hari satu malam untuk mendaki ke Bukit Kutu kerana campsite di puncak (puncak rendah) sangat luas dan terdapat sumber air dari perigi (kemungkinan air ini dari hujan – maklumat sebenar belum saya kenalpasti).
1 jam sebelum ke puncak, terdapat Batu Besar seperti gua yang sangat menarik pemandangannya dan pastinya akan menarik perhatian pendaki sambil berehat-rehat sejenak di situ.
Apa yang menarik di puncak pula ialah terdapat monumen peninggalan penjajah British iaitu cerobong asap dan air perigi. Ketinggian kira-kira 1050 meter di Puncak Bukit Kutu tidak menampakkan sebarang pokok-pokok berlumut namun angin di atas boleh dikatakan kuat.
Untuk ke puncak, hanya perlu ambil masa kurang dari 3 minit dari campsite malah anda boleh melihat puncak batu dari campsite di bawah. Terdapat dua puncak batu, untuk sampai ke puncak batu yang paling tinggi anda perlu memanjat menggunakan akar, berhati-hati kerana tempat berpaut tidak begitu kukuh dan keadaannya boleh dikatakan bahaya.
Dari puncak, pemandangan 360 darjah dapat dilihat antaranya Empangan Air Selangor Kuala Kubu Bharu, gunung-ganang seperti Gunung Rajah yg berada di timur puncak dan lain-lain. Trip mendaki santai yang menarik di cuti-cuti hujung minggu.
Lihat gambar trip Lafuma dari album Muzammil
Untuk download trail tracklog sila download di sini Bukit Kutu Trail